PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan satu jawatankuasa berpusat bagi memantau isu tanah adat di Sabah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jawatankuasa itu penting atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Malaysia Madani kepada Sabah.
Beliau berkata, pihaknya juga memohon supaya Perdana Menteri memberi perhatian berkenaan isu penindasan yang berlaku ke atas penduduk kampung tanah adat tersebut.
“Ketika ini penjelasan yang diterima oleh penduduk kampung tersebut adalah tidak munasabah dan tidak menjawab persoalan yang membelenggu mereka itu. Kami turut bersimpati dengan kejadian menimpa penduduk kampung dan sentiasa komited dalam membantu mencari penyelesaian bermanfaat dalam perkara ini.
“Kami juga berharap Ketua Menteri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur serta Perdana Menteri dapat memberikan kerjasama baik selain memberikan pertimbangan serta budi bicara dalam mencari penyelesaian kepada kemelut itu,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya difahamkan ada pihak, individu atau syarikat cuba mengambil kesempatan terhadap kesusahan, kesulitan dan kedaifan yang dihadapi oleh penduduk asal kampung tersebut. – KOSMO! ONLINE