MIAMI – Bintang sensasi dunia, Lionel Messi buat pertama kalinya mendedahkan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan sebahagian penyokong Paris Saint-Germain sekali gus men jadi punca dia memilih untuk tidak menyambung kontrak baharu.
Messi menjadi mangsa kecaman dan kritikan para penyokong fanatik PSG ekoran kegagalan mereka untuk merangkul gelaran Liga Juara-Juara sejak dua musim dia beraksi bersama pasukan berkenaan.
“Pada awalnya saya fikir perpindahan ini akan menjadi suatu yang hebat. Sama seperti sambutan yang saya terima ketika mula-mula tiba di Paris. Namun, ada sesetengah peminat mula melayan saya dengan cara yang berbeza, tetapi bukan semuanya.
“Sebahagian besar masih menghargai saya, cuma ada diantara mereka yang seakan mula tidak menyukai saya di sana. Ia bukan perkara baharu kerana pernah berlaku kepada Kylian Mbappe dan Neymar sebelum ini dan saya mengetahuinya.
“Namun, saya benar-benar menghargai mereka yang menghormati saya kerana saya sentiasa menghormati mereka sejak hari pertama menyertai PSG. Ia sebahagian daripada asam garam sebagai pemain bola,” katanya.
Dalam pada itu, Messi turut mengakui bahawa selain dirinya, keluarganya juga berdepan banyak kesukaran untuk menyesuaikan diri di Paris menyebabkan keputusan menyertai Inter Miami bukanlah perkara yang sukar untuk dilakukan.
“Sangat sukar untuk mengadaptasi dengan suasana baharu di sana, ia lebih daripada apa yang saya jangkakan walaupun saya mengenali ramai pemain di bilik persalinan.
“Saya tiba lambat, tidak menyertai aksi pramusim. Ia juga tidak mudah untuk keluarga saya sepanjang berada di sana. Sukar untuk saya lalui kehidupan di sana,” jelasnya. – AGENSI