JEMPOL – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan dadah di sebuah kebun getah di Lui Selatan 2, minggu lalu.
Tertuduh, Rahmad Wagi, 30, dan Rusdy Rosli, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 20 Jun lalu kira-kira pukul 2 petang, di pondok dalam kebun getah Felda Lui Selatan 2 telah didapati dalam milik tertuduh dua laras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, kedua-dua tertuduh memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat 5.40 gram.
Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Rahmad dalam rayuannya memohon untuk mengurangkan wang jaminan memandangkan dia tidak mempunyai duit yang cukup selain turut menanggung isteri serta seorang anak kecil, manakala, Rusdy pula menyatakan dia hanya bekerja kampung.
Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM4,000 bagi pertuduhan memiliki senapang buatan sendiri dan RM3,000 bagi pertuduhan memiliki dadah dan menetapkan 18 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta laporan kimia. – KOSMO! ONLINE