Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan persembahan pemain ketika menempah tiket ke aksi final Piala FA setelah menewaskan Selangor FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Kejayaan membantu pasukan melangkah ke perlawanan akhir sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu itu didedikasikan kepada pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Lebih menarik, stadium keramat JDT bakal menjadi pentas final itu nanti di mana skuad Harimau Selatan menjadi calon pilihan untuk memenangi perlawanan itu setelah mempunyai rekod cemerlang beraksi di laman sendiri.
“Kemenangan 4-0 itu bukanlah mudah diraih kerana kita berdepan dengan pihak lawan yang hebat, ia menjadi cabaran getir buat pemain untuk memberikan aksi terbaik sepanjang tempoh 90 minit permainan.
“Persiapan dilakukan pemain sejak berminggu yang lalu membuahkan hasil setelah berjaya menempah tempat ke aksi final Piala FA pada Julai ini,” katanya.
Pada perlawanan separuh akhir Piala FA malam tadi, Arif Aiman Hanapi muncul wira pasukan apabila meledak hatrik ketika membantu pasukan itu menundukkan Selangor, manakala satu gol lagi dijaringkan Fernando Forestieri melengkapkan malam gemilang buat JDT.
Solari menghamburkan pujian kepada Arif Aiman yang disifatkan bakal menjadi penyerang prolifik buat Harimau Selatan dan mampu menjadi watak utama buat pasukan pada kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL).
“Dia bukan sahaja mempunyai sentuhan penyudah yang berbisa malah boleh bermain di pelbagai posisi selain bijak membaca permainan ketika membantu rakan pasukan melakukan serangan.
“Dia juga rajin membantu pasukan ketika bertahan, kualiti yang ada ini mampu menjadikan dia pemain yang lebih baik dan percaya dia masih boleh terus menyinar di masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Argentina itu mempertahankan keputusan dengan merehatkan ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva dengan menurunkan Diogo Luis Santo.