ALOR SETAR – Kegiatan penyelewengan diesel yang didalangi penduduk tempatan terus menjadi-jadi apabila dua lagi suspek dikesan cuba melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Alor Mengkudu, di sini semalam.
Cubaan dua lelaki berusia 28 dan 58 tahun itu bagaimanapun berjaya digagalkan penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Ops Tiris kira-kira pukul 11.30 malam.
Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth memberitahu, kegiatan suspek tersebut dikesan hasil operasi membanteras penyeludupan diesel oleh penguat kuasanya di stesen-stesen minyak sekitar Alor Setar bermula lewat malam hingga awal pagi berdasarkan maklumat orang awam.
“Hasil operasi yang dijalankan, pasukan berjaya mengesan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda jenama Isuzu Trooper masing-masing bernombor pendaftaran tempatan sedang
mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Alor Mengkudu.
“Pemeriksaan lanjut terhadap dua kenderaan itu menemui tangki tambahan yang diubah suai dan dipercayai digunakan untuk penyelewengan diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, penguat kuasa juga turut membuat pemeriksaan terhadap sebuah van jenama Toyota bernombor pendaftaran tempatan yang ditinggalkan di perkarangan sebuah stesen minyak di kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan menemui tangki tambahan berisi diesel sebanyak kira-kira 200 liter,” ujarnya.
Menurutnya, dua suspek terbabit ditahan sementara tiga kenderaan dan sebanyak 1,300 liter diesel bernilai RM2,795 yang ditemui dari tangki tambahan disita untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE