GUA MUSANG – Laluan masuk ke Kelantan semakin sesak dengan kenderaan perantau yang ingin pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok.
Tinjauan Kosmo! mendapati, jumlah kenderaan memasuki negeri ini melalui pintu masuk Gua Musang semakin bertambah setiap jam sejak semalam.
Kenderaan melalui laluan di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai juga bertali arus dan kesesakan dijangka berlaku sehingga malam ini.
Seorang perantau, Mohd. Jailani Mohd. Asri, 39, berkata, kesesakan teruk berlaku di Kuala Lipis dan susur keluar dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Lipis ke Gua Musang.
Katanya, dia yang bertolak dari Shah Alam kira-kira pukul 9 malam dan tiba di Gua Musang pada pukul 6.30 pagi tadi dan perlu menempuh hampir 10 jam perjalanan dari Shah Alam disebabkan jalan sesak yang berlaku di beberapa tempat terutamanya menuju ke bandar Raub serta Kuala Lipis.a.
Seorang lagi perantau, Asiah Jaafar, 37, berkata, dia bertolak pukul 9 malam tadi dan terpaksa berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat kerana berlaku kesesakan menuju ke Pantai Timur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi berkata, kenderaan dari luar Kelantan mula bergerak masuk melalui Gua Musang sejak kelmarin.
Katanya, kenderaan bertambah sejak semalam dan hari ini sehingga trafik perlahan di beberapa tempat terutamanya di lampu isyarat di hadapan restoran KFC menuju ke Kuala Krai. – KOSMO! ONLINE