fbpx

Ahmad Shabery dilantik Pengerusi Felda, kuat kuasa 1 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Shabery.

PETALING JAYA – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu, berkuat kuasa pada 1 Julai depan.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda menerusi kenyataan, hari ini berkata, dengan pelantikan tersebut, beliau diharap dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha transformasi Felda yang telah berjalan selama ini.

“Felda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Idris Jusoh yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Felda pada Jumaat ini.

“Sepanjang tiga tahun perkhidmatannya, beliau telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka Felda.

“Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022,” katanya, hari ini.

Tambahnya, peningkatan hasil tersebut secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka.

Selain itu, katanya, Idris turut memperkenalkan inisiatif Felda Digital Maker Hub: Coding & Robotic, Smart Classroom serta menaik taraf Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda sebagai salah sebuah MRSM Ulul Albab.

“Inisiatif-inisiatif ini memberikan peluang kepada generasi baharu Felda untuk mendapat pendidikan berkualiti yang mampu meningkatkan mobiliti sosial mereka.

“Tan Sri juga telah membawa paradigma baharu kepada peneroka dengan menjadikan mereka sebagai komuniti yang memberi berbanding menerima.

“Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Waqaf Felda yang telah mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, pelbagai kejayaan lain dikecapi membuktikan komitmen berterusan Idris untuk mentransformasikan Felda sebagai agensi perladangan terbaik yang menjaga kebajikan komuniti peneroka.

“Seluruh warga Felda mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan Tan Sri serta mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda yang baharu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI