fbpx

8 tahun terpisah, Awie teruja nak sambut Aidiladha dengan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWIE mengharapkan penantian untuk beraya dengan dua orang anaknya, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Atasha yang berada bawah jagaan bekas isterinya, Rozana.

PETALING JAYA – Lapan tahun terpisah, vokalis rock terkenal Datuk Awie menzahirkan kesyukuran apabila doa untuk bertemu dua anaknya  hampir termakbul menjelang Hari Raya Aidiladha esok.

Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman berkata, andai direalisasikan hari raya Aidiladha tahun ini akan lebih bermakna dengan kehadiran Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Atasha, 13, yang kini berada bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun

“InshaAllah, raya Haji yang akan tiba esok berkemungkinan besar membolehkan saya berjumpa dengan dua permata saya yang sudah lama tidak berjumpa.

“Mungkin ini akan menjadi Raya Haji yang sangat istimewa buat kami sekeluarga yang turut teruja menunggu momen itu. Harap-harap dapatlah kami berkumpul,” katanya kepada Kosmo! Online.

Begitupun, vokalis Wings itu mendedahkan masih belum mendapat maklum balas daripada dua mereka sama ada mengenai lokasi mahu pun waktu perjumpaan tersebut.

“Ke mana nak dibawa berjalan masih belum tahu lagi, mereka belum respon lagi. Jika diberikan peluang untuk bawa mereka keluar saya memang mahu menghabiskan masa berkualiti dengan mereka.

“Sekiranya tidak dibenarkan, dapat tengok atau dibagi peluang melawat untuk setengah hari pun tidak mengapa buat melepas rindu,” ujarnya ketika ditemui selepas malam gala filem sulung terbitan syarikatnya berjudul Sue-On, semalam.

Bapa kepada enam cahaya mata itu turut mendedahkan sekian lama tidak dapat berhubung dia menerima pesanan ringkas daripada Qasseh selepas pulang mengerjakan ibadah umrah sekitar Ramadan lalu.

“Selama lapan tahun langsung kami tidak dapat berhubung. Ada suatu hari anak saya yang perempuan, Qasseh telah hantar mesej.

“Sebelum anak mesej saya, waktu itu saya berada di Mekah saya banyak berdoa kepada Allah dan apabila saya balik (Malaysia), anak saya mesej membuatkan berderai air mata ini,” jelasnya.

Ditanya apakah ayat yang diucapkan anaknya dalam kandungan mesej tersebut, Awie berkata Qasseh bertanyakan khabar selain meluahkan rasa rindu serta sayang kepada dirinya.

“Assalamualaikum Daddy, ini Qasseh. Apa khabar?, saya sayang dan rindu daddy sangat-sangat,” kongsi Awie dalam nada sayu.

Terdahulu, selain Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Atasha, perkahwinan Awie dan bekas isterinya, Rozana turut dikurniakan
Putra Ahmad Merrah.

Selepas bercerai pada 1 November 2014, penyanyi itu mendirikan rumah tangga dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsudin Al-Qudre pada 2016 dan mempunyai seorang anak lelaki, Putra Ahmad Andeeka, 3.

Beliau juga mempunyai dua lagi anak iaitu Putri Aleeya Antasha, 23 dan Putri Aleefa Antasha, 21, hasil perkahwinan dengan pelakon, Arni Nazira sekitar 1998 yang hanya mampu bertahan lapan tahun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN