fbpx

5.1 juta kenderaan dijangka di lebuh raya sempena Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (kanan) dan Jalaluddin (tengah) beramah mesra bersama pengunjung sewaktu tinjauan di kawasan R&R Dengkil (Arah Selatan), Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR / KOSMO!

DENGKIL – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya boleh mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut esok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat bermula semalam sehingga 3 Julai ini.

“Daripada jumlah tersebut, purata harian trafik Lebuh Raya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga dua juta kenderaan, manakala Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari.

“Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya dan LLM bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya yang mana syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena tinjauan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Selatan), Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, antara langkah proaktif tersebut ialah mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan tiada kerja-kerja pembinaan selain mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagu pengguna Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1.

“Seterusnya mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.

“Dalam masa sama, meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20 peratus petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas plaza tol dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

Beliau berkata, syarikat konsesi diarahkan memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol selain menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang berdepan masalah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI