TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Majlis Dekan Pengajian Melayu Universiti Awam yang bermatlamat untuk memperkukuhkan bidang pengajian Melayu di universiti awam.
Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof. Dr. Tajul Suhaizam Said berkata, dengan tertubuhnya majlis berkenaan, mereka akan dapat bekerjasama dalam bidang pengajaran, penyelidikan, pengkomersialan dan penerbitan.
“Dengan kerjasama ini, bidang peradaban dan tamadun Melayu akan dapat diperkukuhkan di universiti-universiti awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, kerjasama dalam bidang peradaban dan tamadun Melayu juga mampu diperluaskan dalam era globalisasi.
Mengulas lanjut, Tajul Shuhaizam berkata, langkah itu adalah penting dalam merintis kerjasama yang lebih luas dalam bidang pengajian Melayu.
“Dengan kerjasama yang berterusan dan komitmen yang kukuh, Majlis Dekan Pengajian Melayu Universiti Awam diharapkan dapat menjadi pendorong utama dalam memperkukuhkan bidang pengajian Melayu dan memartabatkan peradaban serta tamadun Melayu dalam konteks semasa yang semakin kompleks dan mencabar.
“Selain itu, kerjasama ini juga memberikan peluang untuk memartabatkan budaya Melayu dalam era digital dan globalisasi,” katanya.
Dalam konteks ini, beliau berkata, penggunaan teknologi digital dapat digunakan untuk memperluas jangkauan pengajaran dan pembelajaran, serta mempromosikan warisan budaya Melayu kepada masyarakat tempatan dan dunia luar.
Menurutnya, wakil ketiga-tiga universiti telah mengadakan pertemuan Hotel KSL Esplanade, Klang baru-baru ini bagi merintis kerjasama yang lebih luas dengan seluruh universiti awam yang menawarkan pengajian dalam bidang pengajian Melayu.
Hadir pada pertemuan itu termasuklah Dekan Akademi Pengajian Melayu UM, Prof. Madya Dr. Sabzli Musa Khan; Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad dan kakitangan Institut Peradaban Melayu UPSI. – KOSMO! ONLINE