fbpx

Sikap pengecut ambil penalti punca gigit jari – Steinbruckner

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN TFC, Ivan Mamut (dua dari kiri) melakukan percubaan ke arah gawang ketika menentang KL City pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin. – PUQTRA HAIRRY ROSLI

SIKAP pengecut sebahagian pemain Terengganu FC (TFC) enggan terlibat dalam penentuan sepakan penalti punca skuad Sang Penyu terpaksa menggigit jari kandas di peringkat separuh akhir Piala FA kelmarin.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner secara berterus terang marah dan kecewa dengan sikap sebahagian anak-anak buahnya sedangkan latihan tendangan penalti telah dilakukan secara intensif sebelum ini.

Beliau berkata, hanya dua pemain yang sanggup tampil menjalankan tanggungjawab mengambil sepakan penalti setelah TFC dan KL City terikat 0-0 dalam 120 minit perlawanan.

“Saya tahu siapa boleh mengambil penalti dengan baik kerana kami telah bersedia dengan situasi itu, namun hanya Arif Fadzilah (Abu Bakar) dan Safwan (Mazlan) berani ke depan.

“Jordan (Mintah) katakan beliau tidak mahu, Faiz (Nasir) dan Hakimi (Abdullah) juga enggan. Mungkin faktor tekanan hebat di depan puluhan ribu penonton, saya sangat kecewa,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

TFC ditunjukkan jalan keluar oleh KL City FC di peringkat separuh akhir Piala FA setelah tum­pas 2-4 pada penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi yang terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ gagal menyudahkan sepakan penalti terbabit dengan sempurna.

Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui TFC terpaksa membayar harga yang mahal ekoran sebahagian besar pemainnya jelas gagal beraksi dengan baik di bawah tekanan besar.

Jelas beliau, ia menyebabkan skuad Sang Penyu beraksi di bawah kemampuan sebenar, sekali gus gagal mengulangi ren­tak positif seperti dipamerkan beberapa perlawanan terdahulu.

“Tekanan terlalu tinggi menyebabkan pemain-pemain ­seolah-olah gugup dan tiada kemahuan. Impak pemain simpanan juga tidak seperti yang diharapkan.

“Sudah tentu setiap kali kekalahan, jurulatih dipersalahkan dan ia normal. Apa pun saya akan tetap meneruskan tugas (sebagai ketua jurulatih sehingga khidmat diperlukan TFC,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI