PUTRAJAYA – Murid Tahun Lima, Y. Sarvysswharrann, 11, menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Anugerah Duta Penerbangan Terbanyak diterima oleh Kanak-Kanak.
Sarvysswharrann yang kini belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati, Kuala Lumpur pernah menerima tiga anugerah duta penerbangan tahun lalu.
Ia termasuk duta bagi AirAsia Young Ambassador, SimflightKL Aviation Services Brand Ambassador dan Asia Aeronautical Training Academy Brand Ambassador.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Norazman Mahmud berkata, MBOR menetapkan sekurang-kurangnya tiga anugerah duta perlu diterima sebelum layak menerima pengiktirafan itu.
Menurutnya, pencapaian Sarvysswharran amat membanggakan dan harus menjadi inspirasi kepada murid lain bagi menerokai dunia penerbangan memandangkan bidang tersebut semakin berkembang luas.
“Pengiktirafan itu mendorong minat Sarvysswharran untuk mengetahui dengan lebih lagi mengenai cabang penerbangan sekali gus mencapai cita-citanya untuk menjadi juruterbang,” katanya. – KOSMO! ONLINE