fbpx

Rekaan kuro terjemah gaya jalanan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REKAAN kuro disifatkan bersesuaian dalam mencipa siluet lebih maskulin.

DASAR Pandang ke Timur yang pernah diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja dilihat mempengaruhi aspek pembangunan negara, tetapi turut memberi inspirasi dalam corak penggayaan generasi muda ketika ini.

Elemen itu disifatkan menjadi antara pegangan utama seorang pereka muda iaitu Naim Butek dalam menghasilkan rekaan kuro atau warna hitam dalam bahasa Jepun sempena penganjuran Penang Fashion Show di Bertam, Pulau Pinang minggu lalu.

Menampilkan sebanyak 18 koleksi menerusi rekaan kuro, Naim Butek atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Naim Hasbullah, 29, mengakui, gaya jalanan di Negara Matahari Terbit itu menjadi inspirasi utama dalam penghasilan karyanya.

“Secara konsepnya, kuro menterjemahkan seleksi pakaian yang direka menggunakan warna hitam sebagai asas utama selain turut menyelitkan elemen fauna seperti cetakan kulit ular untuk membangkitkan sisi maskulin.

“Rekaan itu juga menterjemahkan budaya gaya jalanan yang sering digayakan di Jepun di mana negara itu sentiasa maju dalam pelbagai aspek termasuk letusan fesyen itu sendiri,” katanya kepada kepada Stailo.Penang Fashion Show mengangkat tema ‘Once Upon A Time’ membariskan seramai enam pereka muda selain disifatkan menjadi antara platform terbaik khususnya buat pereka di utara tanah air menampilkan bakat masing-masing.

Mengenai pemilihan fabrik, Naim Butek menjelaskan, rekaan kuro dihasilkan dengan padanan kain seperti kulit, bulu tiruan selain menampilkan elemen satin dan kain kapas.

REKAAN kuro merujuk kepada gaya jalanan Jepun dengan warna hitam.

“Pemilihan fabrik sedemikian diputuskan dalam rekaan kali ini kerana daripada prinsip fesyen itu sendiri kita perlu ada pelbagai jenis tekstur untuk mencipta busana lebih unik.

“Memandangkan hala tuju rekaan lebih kepada pakaian ‘ready to wear’ untuk lelaki, jadi pemilihan fabrik itu disifatkan bersesuaian bagi mencipta siluet lebih maskulin,” kata graduan Ijazah Sarjana Teknologi Rekaan Universiti Teknologi Mara Shah Alam itu.

NAIM BUTEK melihat rekaan kuro semakin mula diterima.

Selain itu, katanya, penghasilan kuro juga menjadi penanda aras baharu dalam rekaannya di mana gaya jalanan Jepun bakal menjadi ‘signature look’ dalam karya-karya seterusnya.

“Sejujurnya, saya begitu meminati rekaan pereka seperti Kit Woo, Rick Owen dan Yohji Yamamoto di mana figura hebat itu sentiasa menampilkan idea segar dalam busana gaya jalanan.

“Di Malaysia, rekaan gaya jalanan Jepun dilihat baru mencipta tapak kerana belum ramai pereka kita ke arah itu, namun ia sudah mula diterima,” jelasnya.

Melihat situasi itu, Naim Butek meletakkan sasaran menjadi antara pereka muda menampil idea sedemikian lebih-lebih lagi kala gaya longgar dan ‘oversized’ mula mencipta fenomena.

Selain menyertai Penang Fashion Week bagi edisi kedua tahun ini, Naim Butek juga pernah disenarai 8 Inspired Young Designers KLCC pada 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI