SHAH ALAM – Selangor menjadi negeri fokus dalam gelombang utama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, analisis penyelidik meramalkan gelombang PN pada enam PRN kelak dijangka jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, momentum PRN termasuk di Selangor kali ini memperlihatkan angin perubahan rakyat untuk terus menyokong PN.
“Bukan bermakna negeri lain tidak diberi perhatian, tetapi rakyat melihat keseluruhan PRN ini bergantung kepada Selangor. Kalau Selangor Pakatan Harapan (PN) dan Barisan Nasional (BN) tumbang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak mustahil,” katanya ketika berucap pada Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18 di sini, malam tadi.
Tegas beliau, gelombang PN yang berlaku itu merupakan satu manifestasi dan kehendak rakyat di seluruh negara.
“Siapa sangka PN mampu menang 14 daripada 15 kerusi DUN dan semua tiga Parlimen di Perlis pada PRU15 lalu. Kedah PN menang besar, begitu juga dengan Kelantan dan Terengganu memang kita jangka sebagaimana kita jangka Selangor ini (PH ) tumbang kepada PN pada kali ini,” katanya.
“Bila kita bicara soal pilihan raya, ia peluang yang diberi kepada rakyat dalam sistem demokrasi untuk memilih pemimpin. Kita baru tiga hari bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor dan PRN mungkin diadakan pada Ogos, ini bermakna lebih kurang sebulan untuk kita tewaskan PH dan BN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE