fbpx

Mahkamah: Datuk bebas tuduhan menipu pembelian milikan pegangan pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan menipu berhubung pembelian milikan pegangan pesawat dan helikopter bernilai melebihi RM7 juta, enam tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun turut membebaskan Datuk Ismail Hassan, 59, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan kedua iaitu memasuki perjanjian pinjaman bagi menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

Mahkamah berpuas hati, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pernyataan palsu dan niat tidak jujur yang boleh mengaitkan ahli perniagaan itu dengan pertuduhan yang dihadapinya.

Ketika membacakan keputusannya, Kamarudin berpendapat, keterangan saksi-saksi secara keseluruhan menunjukkan Ismail tidak pernah pada bila-bila masa berjanji untuk membeli pesawat tersebut dan selanjutnya mengeluarkan dua keping cek.

Ujar beliau, sebaliknya pembelian pesawat yang dikatakan itu merupakan kehendak pengadu yang dibuktikan melalui rantaian perbualan WhatsApp di antara kedua-duanya apabila pengadu sendiri ingin menjual pegangannya atas pesawat-pesawat itu.

Kamarudin turut menyatakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen habuan dan kerugian secara salah yang mengaitkan tertuduh.

“Pengadu tidak mengalami kerugian kerana saham-sahamnya ke atas syarikat dan pesawat itu masih utuh atas alasan tiada apa-apa pelepasan atau jual beli dalam milikan saham pesawat.

“Tiada keuntungan diperoleh di pihak tertuduh kerana wang tersebut telah digunakan sepenuhnya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang dipersetujui ketika melaksanakan urusan pembelian pesawat,” ujarnya.

Sebaliknya, beliau berkata, Ismail menanggung pelbagai kos dan kerugian berkaitan penyelenggaraan dan pengunaan pesawat yang masih belum dituntut daripada pengadu yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah berpuas hati terdapat surat dari Jabatan Insolvensi yang telah dikeluarkan kepada tertuduh semenjak 6 September 2016.

Ujarnya, surat tersebut menyatakan bahawa tertuduh dibenarkan menjalankan tugas sebagai perunding syarikat tanpa apa-apa syarat sekatan lain, namun tertuduh tidak boleh menjadi penjamin bagi pinjaman kepada syarikat itu atau mana-mana pihak.

Menurut hakim berkenaan, meskipun tanpa perlepasan daripada status muflis, surat kebenaran tersebut memadai untuk tertuduh melaksanakan apa-apa perkara berkaitan perjalanan syarikat tersebut.

Selain itu, mahkamah turut berpendapat, dokumen perjanjian yang dikemukakan hanya merupakan ‘dummy’ bagi urusan rentas perbankan untuk melaksanakan urusan pembelian pesawat dan penubuhan syarikat luar negara.

Beliau berkata, penubuhan syarikat itu telah dilaksanakan dengan sempurna dan lengkap dan tidak mendatangkan kerugian pada mana-mana pihak.

Perbicaraan kes itu bermula Mei lalu dengan 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. Tertuduh didakwa pada 17 Januari lalu.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan manakala Ismail diwakili peguam Datuk Zainal Omar dan Ahmad Fadli Salleh.

Sementara itu, Ismail ketika ditemui wakil media sejurus selesai prosiding bersyukur dengan keputusan itu sambil menyifatkan beliau difitnah bertujuan menjejaskan reputasi dan memalukannya sebagai seorang ahli perniagaan.

Pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan sehingga mangsa mempercayai tertuduh berniat membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95 AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) berharga RM7,092,995.

Tertuduh kemudian didakwa menyerahkan dua keping cek Maybank masing-masing bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada ahli perniagaan itu walhal tertuduh mengetahui cek-cek itu tidak boleh ditunaikan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, di sini pada 21 Februari 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, Ismail yang ketika itu belum dilepaskan daripada status muflis, didakwa memasuki perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan individu sama bertujuan membeli pesawat dan helikopter serupa serta menubuhkan syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI