PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan 17 lelaki yang didakwa merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya lima tahun lalu.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kesemua tertuduh diakhir kes pendakwaan itu.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati tiada pengenalpastian positif tertuduh termasuk melalui pengecaman di kandang tertuduh.
“Selain itu tiada senjata dikemukakan di mahkamah sebagai bahan ekshibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas tuduhan,” kata Majistret Muhammad Iskandar.
Berikutan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada tahun 2019, lebih 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, peguam R.Kirthiraj yang mewakili salah seorang tertuduh iaitu Saifullah Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Tertuduh lain ialah Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd. Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md. Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.
Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh berusia antara 24 dan 47 tahun didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara pukul 2 pagi hingga 5 pagi pada 26 November 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Rusuhan itu yang berlaku pada awal pagi 26 November 2018 apabila sekumpulan lelaki memasuki kuil.
Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada isu penempatan semula kuil, dengan beberapa penganut enggan berbuat demikian. Rusuhan itu menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan dibakar dan beberapa orang cedera.
Kejadian itu turut meragut nyawa seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, yang cedera di tempat kejadian sebelum meninggal dunia sebulan kemudian di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 2019, mahkamah koroner memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali. – KOSMO! ONLINE