Kebangkitan kembali reka corak kotak-kotak (plaid/ tartan) inspirasi 70-an dalam dunia fesyen pada tahun ini, menjadi taruhan di atas pentas peragaan antarabangsa. Eksperimentasi para pereka dengan reka corak kotak-kotak atau tartan dalam pelbagai rona neutral, terang dan lembut menyuntik aura segar dalam koleksi-koleksi terbaharu mereka.
Para pereka antarabangsa mengutarakan variasi rekaan seperti kot, seluar, skirt dan gaun dalam fabrik kotak-kotak yang paling kontemporari, menarik dan dramatik. Di sini saya titipkan panduan untuk menggayakan trend reka corak kotak-kotak yang mudah dipraktikkan semua.
Satu reka corak
Pakai satu pakaian corak kotak-kotak pada suatu masa. Terdapat pelbagai variasi warna dan gaya tartan untuk menjadi pilihan anda. Namun begitu, jika kesemua padanan pakaian dan aksesori yang dipakai adalah dalam corak kotak-kotak yang berlainan, penampilan anda pasti kelihatan agak semak untuk dilihat. Oleh itu pilihlah hanya satu jenis reka corak dan warna yang paling memberikan impak.
Aksesori
Pemakaian aksesori dalam corak kotak-kotak adalah cara mudah bagi menyuntik ceria dalam penampilan keseluruhan anda. Apapun perlu diingat, memakai lebih daripada satu pakaian/ aksesori dalam corak kotak-kotak adalah tidak digalakkan kecuali ia adalah dalam reka corak dan warna yang serupa. Contoh aksesori: topi, skaf, tali leher, sapu tangan, beg tangan dan kaca mata.
Warna polos
Jika anda mahu padankan corak kotak-kotak dengan pakaian (dalam satu warna polos yang lain) selain rona neutral, pilihlah antara warna polos yang ada dalam corak
kotak-kotak yang menjadi pilihan anda. Contohnya, jika anda memakai jean biru yang terang, padankan ia dengan kemeja/ blaus/ top dengan corak kotak-kotak yang ada sedikit elemen rona biru tersebut (sama ada lebih cerah, gelap atau terang).
Musim
Pilih corak kotak-kotak dalam fabrik yang sesuai mengikut musim atau cuaca. Contohnya: Musim bunga – fabrik kapas ringan untuk kemeja, stoking, topi. Musim panas – Fabrik kapas ringan untuk kemeja, skirt, seluar pendek, jumpers, kemeja-T. Musim luruh – Fabrik flannel untuk kemeja, kot, topi. Musim sejuk – fabrik flannel tebal untuk kemeja, jaket dan skaf.