PETALING JAYA – Pemilihan jurusan pengajian di universiti bukan lagi sesuatu yang merumitkan kerana sebahagian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah bertekad memilih bidang yang menawarkan banyak peluang kerja, menjadi buruan majikan dan boleh bekerja sendiri.
Aina Maisarah Azwan, 18, yang memperoleh 8A 1B dalam SPM 2022 antaranya bercita-cita untuk menjadi pakar perisian komputer dan merancang menyambung pengajian di peringkat asasi sebelum melanjutkan ke peringkat ijazah sarjana muda.
“Kerjaya ini dilihat amat sesuai selari dengan perkembangan teknologi semasa negara ketika ini dan individu yang mempunyai kemahiran baik dalam ilmu perisian sering menjadi rebutan majikan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bagi Nur Amalin Sufia Mohd. Azizi, 18, yang meraih 7A SPM pula bercita-cita menjadi seorang ahli farmasi dan juga guru Bahasa Inggeris.
Meskipun daripada aliran sains tulen, Nur Amalin menganggap kerjaya sebagai doktor mempunyai persaingan yang tinggi dan dia sendiri tidak mahu mengambil risiko kerana takut akan menganggur lama selepas tamat belajar.
“Nak jadi doktor saingan banyak, risau tidak dapat penempatan selepas belajar. Pilihan pertama saya ambil matrikulasi dulu, lepas itu sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang farmasi. Insya-Allah,” ujarnya.
.
Di Kluang, Johor, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Arif Bendahara, Muhammad Daneal Azfar Mahadi,18, yang mendapat 5A SPM 2022 pula memilih jurusan kulinari kerana mempunyai pasaran kerjaya yang luas.
Dia kini menyasarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) sebagai tempat melanjutkan pelajaran.
“Kalau tidak mendapat kerja pun, kemahiran yang diperoleh daripada pengajian dapat dimanfaatkan untuk membina kerjaya sendiri,” ujarnya.
Berita berkaitan: Pelajar cemerlang SPM tak mahu jadi doktor, pilih jurukimpal, seni kulinari