fbpx

Jemaah haji mula berwukuf hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 6,000 jemaah di Abraj AL-Janadriyah bersedia untuk menaiki bas ke Arafah semalam.

MEKAH – Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Arafah untuk menyertai hampir tiga juta manusia berwukuf yang menandakan bermulanya perjalanan teragung rukun Islam kelima itu hari ini.

Dengan menaiki 510 buah bas, kesemua jemaah muassasah dari sembilan buah maktab di kota Mekah dibawa secara berperingkat bermula pada pukul 7.40 pagi semalam supaya berada di Arafah tepat pada waktu berwukuf.

Jemaah pakej pula dibawa dengan menaiki 179 buah bas.

Terdahulu, sekumpulan 314 petugas (216 kebajikan dan 98 perubatan) telah bergerak ke Arafah pada pukul 12.30 tengah malam semalam untuk membuat persiapan terakhir menyambut jemaah, menyelaras pengangkutan, klinik dan sebagainya.

Secara ringkas, selepas mendengar khutbah Arafah dan beribadat secara sendirian, jemaah bergerak ke Muzdalifah bermula pukul 6.30 petang sebelum bermabit di Mina. Sebahagiannya akan melakukan nafar awal.

Jemaah kemudian akan mula melontar selama empat hari sehingga Sabtu ini (13 Zulhijjah).

Seramai 60 jemaah di wad hospital pula akan dibawa ke Arafah dengan menaiki enam buah bas dengan dibantu 111 petugas perubatan melalui program Safari Wukuf termasuk empat yang terlantar akibat penyakit berkaitan paru-paru dan jantung.

Tinjauan mendapati, kesemua jemaah bersemangat untuk ke Arafah dan rata-rata sudah bersedia mental serta fizikal bagi melaksanakan rukun kedua haji.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, persiapan di ketiga-tiga lokasi itu telah siap 100 peratus hasil daripada ke­sungguhan Tabung Haji yang ingin memastikan keselesaan para jemaah seperti pada tahun-tahun sebe­lumnya.

Katanya, pergerakan membawa jemaah berjalan lancar se­perti dirancang dan terserah kepada mereka untuk memanfaatkan masa yang ada untuk berdoa, solat dan berzikir bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT sepanjang berada di Arafah.

“Sebanyak 1,924 jemaah pakej sudah bergerak ke sana pada malam tadi (kelmarin) dan sampai awal pagi tadi (semalam). Kita akan membuat semakan di hotel, kawasan persekitaran termasuk di Masjidilharam bagi memastikan tiada jemaah tertinggal.

“Jika ada yang tertinggal, mereka akan dibawa menggunakan kenderaan pejabat oleh petugas pada esok (hari ini).

“Kesemua jemaah akan mendengar khutbah Arafah yang sama selepas diselaraskan di kesemua muassasah dan jemaah pakej,” katanya di Abraj Al-Janadriyah, di sini semalam.

Menurutnya, bilik ge­rakan di Arafah juga telah diaktifkan oleh petugas awal yang tiba di Arafah yang menjadi nadi memantau pergerakan seterusnya.

Terdahulu, Syed Saleh bersama petugas TH menyantuni kira-kira 6,000 jemaah daripada dua buah maktab di Abraj Al-Janadriyah untuk menaiki bas ke Arafah.

Sebanyak 50 jemaah (25 lelaki dan 25 wanita) dipilih untuk menyertai program Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (peneman) yang akan disantuni 50 petugas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI