fbpx

Harimau baham lembu mati ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEEKOR harimau belang mati ditembak selepas dipercayai menyerang sekumpulan lembu di Kuala Air Kewa, Dala di Gerik hari ini.

GERIK – Seekor harimau belang dilaporkan mati ditembak selepas dipercayai menyerang sekumpulan lembu di Kuala Air Kewa dekat Dala di sini hari ini.

Difahamkan, kejadian sekitar pukul 3 pagi itu disedari lelaki berusia 51 tahun selepas dia terdengar bunyi bising dari kandang lembu yang terletak kira-kira 30 meter dari kabinnya.

Lelaki terbabit yang membawa selaras senapang bagi tujuan keselamatan bagaimanapun terkejut apabila melihat seekor harimau sedang menarik seekor lembu yang masih hidup.

Dia yang berasa ketakutan dan mahu menyelamatkan haiwan ternakannya terpaksa melepaskan tembakan ke arah harimau berkenaan.

Lelaki terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Difahamkan, Perhilitan telah menerima aduan berkaitan gangguan haiwan liar itu di beberapa kawasan sejak minggu lalu dengan perangkap turut dipasang di lokasi dikenal pasti.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak Perhilitan untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan Perhilitan berhubung kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI