TELUK INTAN – Sebanyak 170 botol susu kacang soya dan 4,300 unit label yang menggunakan logo halal palsu, disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu serbuan hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan itu dijalankan di sebuah rumah yang telah diubah suai menjadi tempat memproses makanan dan minuman di kawasan Hutan Melintang dekat sini.t.
“Pemeriksaan di premis itu mendapati terdapat susu kacang soya yang telah siap diproses dan dibotolkan di mana produk berkenaan disyaki menggunakan logo halal palsu.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, premis beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati produk tersebut diedarkan ke premis-premis perniagaan runcit di sekitar Teluk Intan dan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,182.50.
“Seorang lelaki berusia 58 tahun disyaki pemilik perniagaan ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Perintah 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya. – KOSMO! ONLINE