fbpx

Empat tahun angkut air sungai, kolam sebab tak mampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZAN dan isterinya memerhatikan cucu perempuannya yang mempunyai masalah pendengaran menyapu minyak pada kaki kirinya di kediaman mereka di Jalan Padang Besar, Padang Besar baru-baru ini.

PADANG BESAR – “Tidak banyak yang saya minta, kami perlukan bekalan air bersih terus ke pili rumah.”

Itu harapan pencari hasil hutan, Norizan Izhak, 58, agar bekalan air dapat disalurkan ke rumahnya yang didiami bersama isteri dan tiga cucu termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) di Guar Jali, Batu 19, Jalan Padang Besar di sini.

Menurut Norizan, dia membina rumah di atas tanah yang dibeli pada tahun 2009, namun tidak mampu untuk menyediakan bekalan air bersih atas kekangan kewangan.

“Kami terpaksa mengangkut air dari sungai dan kolam berdekatan rumah, namun sejak setahun lalu saya tidak mampu lagi mengangkut air kerana terlantar akibat strok,” katanya.

Norizan berkata, dia yang sebelum ini melakukan kerja-kerja hutan dan menjual perabut buatan sendiri dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan kini bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) RM500 sebulan.

“Sebelum diserang strok yang menyebabkan lumpuh kaki kiri, kaki kanan saya turut mengalami masalah saraf beberapa tahun, namun masih mampu bekerja.

“Dalam keadaan sekarang, saya hanya bergantung kepada bantuan daripada JKM dan sumbangan anak serta kenalan kerana isteri saya sibuk menguruskan tiga lagi cucu termasuk seorang yang menghidapi masalah pendengaran,” jelasnya.

Menurut Norizan, dia mengambil tanggungjawab menjaga cucu-cucunya selepas ibu serta bapa mereka berdepan dengan masalah keluarga dan itu sahaja bantuan yang boleh dihulurkannya.

Tambah Norizan, setiap bulan dia perlu ke Hospital Tengku Fauziah di Kangar sejauh 30 kilometer bagi melakukan pemeriksaan rutin beberapa penyakit lain yang dihadapinya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannnya kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) isteri Norizan, Norsiah Khalid iaitu 0912041000060385.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI