fbpx

Empat maut, dua parah kereta bertembung treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta dinaiki enam sekeluarga melibatkan empat mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Kulim-Baling berhampiran kilang Inokom, Kulim hari ini.

KULIM – Empat sekeluarga maut sementara dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kulim-Baling berhampiran kilang Inokom, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang tadi itu, kereta jenis Perodua Bezza dinaiki enam sekeluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Kulim menghala ke Baling, dekat sini.

Seorang saksi kejadian, Mohamad Redzuan Adam, 41 berkata, kejadian berlaku ketika dia menaiki kereta bersama keluarganya dan berada di belakang kereta mangsa sebelum kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Saya terkejut melihat kereta di hadapan saya terhuyung hayang sebelum bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan. Kereta itu berpusing sebelum terbabas di bahu jalan. Sedih melihat keadaan mangsa bergelimpangan dalam kereta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Redzuan berkata, pemandu kereta itu merupakan seorang lelaki dan penumpang hadapan seorang wanita dewasa selain terdapat dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki serta seorang bayi perempuan.

“Kami menghubungi polis dan bomba. Empat mangsa termasuk pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian. Dua lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang cedera parah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” tambahnya.

Sementara itu, mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berusia anggaran 30 dan 59 tahun serta seorang bayi perempuan berusia lingkungan lapan bulan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 4.06 petang.

“Enam mangsa dalam kereta terbabit. Empat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Dua lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia lingkungan dua dan enam tahun dipercayai cedera parah,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI