KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mencadangkan kerangka pendidikan menyeluruh dan membangunkan pelan pendidikan baharu mengambil kira faktor global dan dasar dalam pembentukan karakter warganegara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan latihan kompetensi guru serta kebolehpasaran individu dalam bidang pekerjaan dalam dan luar negara.
Katanya, KPM juga kini sedang menilai pencapaian pelan tersebut dan juga telah memulakan perancangan, libat urus, sindikasi dengan pemegang taruk dalam membangunkan pelan pendidikan baharu.
“KPM menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang akan menerajui perancangan, hala tuju dan pembangunan pelan pendidikan baharu.
“Perancangan ini akan menjadikan pendidikan manusiawi ke arah Malaysia Madani termasuk menjadikan Anak Yang Baik Lagi Cerdik dan pembentukan karamah insaniah serta pendidikan karakter sebagai tunjang dalam kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Jaziri Alkaf Abdillah Suffian yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan Kementerian seterusnya selepas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 berakhir tidak berapa lama lagi. – KOSMO! ONLINE