SHAH ALAM – Penjawat awam Selangor diberikan cuti tambahan sehari pada Jumaat ini bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, keputusan itu dibuat selepas pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Khamis ini.
Katanya, pemberian cuti tambahan itu adalah selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
“Kemudahan cuti tambahan ini adalah khusus kepada semua penjawat awam di jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan negeri sahaja.
“Bagaimanapun, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri dan pihak swasta adalah tidak tertakluk kepada arahan ini dan terpulang kepada majikan masing-masing selaras dengan Akta Kerja 1955 ( Akta 265),” jelasnya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE