PETALING JAYA – Bangunan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Palong 11 mengalami kerosakan teruk disebabkan ribut yang melanda kawasan terbabit petang kelmarin.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kejadian tersebut menyebabkan seorang wanita dewasa dan seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan ringan.
“Ketika ribut melanda, terdapat 15 orang pekerja di dalam PEDi berkenaan. 13 orang lagi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut MCMC, hasil tinjauan yang dijalankan mendapati struktur bangunan, atap, siling, lantai serta kelengkapan perkakasan dan perisian di dalam bangunan berkenaan mengalami kerosakan akibat bencana ribut.
“Pihak Telekom Malaysia juga telah diarahkan untuk memberi laporan penuh mengenai kerosakan akibat bencana ribut yang melanda PEDi Felda Palong 11 kepada MCMC.
“Kerja baik pulih pula akan dijalankan segera apabila nilai kerosakan PEDi berkenaan dapat dikenal pasti. Buat masa sekarang, PEDi Felda Palong 11 akan ditutup buat sementara waktu,” katanya. – KOSMO! ONLINE