fbpx

Banduan bebas berlesen bersyukur dapat sambut Aidiladha bersama keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua OBB ketika ditemubual pemberita di Pusat Koreksional Perlis di Arau, hari ini.

ARAU – Tidak tergambar keceriaan yang terpampang pada wajah dua banduan apabila berpeluang meraikan sambutan Aidiladha bersama keluarga sempena program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani Kepulangan yang Dinanti.

Menurut Orang Bebas Berlesen (OBB) dikenali sebagai Zakuan, 40-an, dia yang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen pada Mac lalu bersyukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan penjara dan kerajaan Malaysia kerana memberi peluang kepada saya melalui PBSL bagi mengubat kerinduan bersama anak dan isteri.

“Dalam kesempatan ini juga, saya menasihatkan mereka di luar sana agar tidak melakukan apa-apa kegiatan menyalahi undang-undang kerana jika dihukum, ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah kepada institusi kekeluargaan,” katanya kepada pemberita di Pusat Koreksional Perlis di sini hari ini.

Zakuan merupakan antara 30 banduan terpilih bagi menjalani program PBSL dari pusat koreksional tersebut dan hanya dua banduan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sementara seramai 28 lagi banduan tinggal bersama majikan masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi OBB, Faizal, 30-an, berkata, dia tidak sabar untuk pulang bertemu dengan keluarganya di Pulau Langkawi, Kedah selepas menjalani hukuman akibat kesalahan dadah di pusat koreksional itu.

Katanya, walaupun masih bujang, namun dia bersyukur kerana ahli keluarga sudi menerima kepulangannya ke pangkuan mereka walaupun telah melakukan kesalahan jenayah dan ia lebih bererti apabila dilepaskan menjelang sambutan Aidiladha.

Sementara itu, Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Penolong Komisioner Penjara, Rizalma Che’ Abd. Hamid berkata, seramai 30 banduan dilepaskan secara berlesen pada hari ini.

“Rata-rata mereka adalah banduan yang dijatuhi hukuman penjara dalam tempoh setahun dan dilepaskan secara berlesen walaupun hukuman mereka masih berbaki satu bulan.

“Menerusi program kali ini, mereka semua diberi pelepasan untuk bekerja di luar penjara dengan 28 daripada mereka tinggal bersama majikan manakala dua OBB lain bekerja dengan keluarga masing-masing,” jelasnya.

Tambah Rizalma, PBSL bertujuan sebagai pra persediaan untuk melatih mereka kembali bersama keluarga dan masyarakat selain berupaya mencari kerja sebaik tamat tempoh hukuman.

Kata lagi, kesemua OBB yang dilepaskan masih perlu patuh kepada syarat ditetapkan dan mereka semua masih di bawah pemantauan Pejabat Parol Daerah Kangar, Langkawi dan Kota Setar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI