PUTRAJAYA – Lebih 400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk setakat ini bagi mengisi keperluan pekerjaan lima sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu berjaya dicapai hasil kelonggaran kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi yang dilaksana awal tahun ini.
Beliau berkata, negara memerlukan sekitar 100,000 lagi pekerja asing bagi mengisi keperluan itu.
“Kalau lihat daripada jumlah kuota diluluskan dan rekalibrasi yang sudah daftar, kita yakin boleh penuhi keperluan tenaga kerja ini selewat-lewatnya suku kedua,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini hari ini.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) sudah meluluskan kuota pekerja asing seramai 1.136 juta pekerja setakat bulan ini bagi semua sektor terutama lima sektor kritikal.
Saifuddin berkata, program Rekalibrasi 2.0 dilaksana KDN juga membabitkan 680,000 pekerja dan ia menjadikan keseluruhan pekerja seramai 1.8 juta orang.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan 518,000 pekerja asing bagi suku pertama tahun ini dan baki 100,000 pekerja berlaku kerana majikan mengambil masa untuk membawa masuk pekerja kerana masalah modal.
“Selain itu, karenah birokrasi di negara sumber menjadi penghalang kekurangan itu dan ia bukan masalah di pihak kerajaan kita kerana dasar sudah kita permudahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE