KOTA BHARU – Seorang peniaga wanita bukan Islam di sebuah kedai pakaian di Jalan Merbau di sini dikompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) selepas didapati memakai seluar pendek paras punggung semalam.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, kompaun itu dikeluarkan oleh anggota penguat kuasa mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
Menurutnya, pemegang lesen perlu memastikan dirinya dan pekerja berpakaian sopan, bersih selain kemas sepanjang menjalankan aktiviti tred, perniagaan atau perindustrian.
“Seksyen itu juga menegaskan bahawa individu yang bukan beragama Islam perlu memastikan dirinya dan pekerja bukan Islam memakai pakaian sopan. Sekiranya pekerja beragama Islam, hendaklah memakai pakaian menutup aurat.
“Sehubungan itu, MPKB-BRI memberi perhatian serius terhadap hantaran pemegang akaun
Facebook wanita terbabit dan komen-komen netizen pada hantaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rosnazli, pihaknya kesal dengan kenyataan mengelirukan tidak berasas dan berterusan yang telah dibuat oleh pemegang akaun Facebook tersebut.
Katanya, keadaan itu mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap anggota penguat kuasa MPKB-BRI dan pihak berkuasa tempatan.
Terdahulu, seorang wanita memuat naik gambar notis kompaun di akaun Facebook miliknya apabila tidak berpuas hati selepas dikompaun anggota penguat kuasa MPKB-BRI atas kesalahan tidak memakai baju-T dan seluar pendek paras punggung.
Dalam hantaran itu, wanita terbabit turut memaklumkan bahawa dia menjalankan perniagaan melibatkan fesyen selain menyindir bahawa dia perlu memakai baju kurung semasa berniaga meskipun bukan beragama Islam. – KOSMO! ONLINE