fbpx

[VIDEO] Pemandu Volvo tular langgar lari motosikal dirakam keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Lebuh Raya Sprint menghala ke Tol Damansara, kawasan Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA – Pemandu kereta jenis Volvo yang tular melanggar lari motosikal di Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) menghala ke Tol Damansara, sudah dirakam keterangan hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya terkesan video tular kemalangan membabitkan dua kenderaan tersebut dimuat naik di Facebook.

Katanya, rakaman tersebut memaparkan satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis Volvo.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku sekitar pukul 7.10 petang, semalam.

“Pihak kami telah menerima laporan polis daripada pemandu Volvo berusia 51 tahun berhubung kejadian itu, hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fakhruddin, rakaman keterangan daripada lelaki tempatan tersebut sudah diambil sekitar pukul 12.03 tengah hari tadi manakala penunggang motosikal masih dikesan.

“Penunggang motosikal yang terlibat diminta tampil membuat laporan polis segera untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagi saksi melihat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Semalam, tular di media sosial sebuah kenderaan jenis Volvo melanggar penunggang motosikal di Lebuh Raya Sprint menghala ke tol Damansara.

Video berdurasi 42 minit itu memaparkan, pemandu kereta yang melanggar motosikal daripada belakang bertindak meneruskan perjalanan dan tidak memberhentikan kenderaannya.

Dalam video berkenaan juga, turut kelihatan mangsa yang terjatuh lalu terbaring tidak bergerak selepas perlanggaran itu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI