SELAYANG – Seorang pegawai polis wanita tular yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ tiba di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.
“Inspektor Shiela” tiba kira-kira pukul 8.55 pagi. Difahamkan, hari ini pendakwaan akan dibuat mengikut dua seksyen.
Ketika disapa pihak media dengan kata-kata “good morning” “Inspektor Shiela” kemudian membalas “good morning”.
Sebelum ini, tular seorang penjawat awam yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dikatakan merendah-rendahkan pangkat anggota polis lain.
Melalui satu klip video yang tular ketika ini, kejadian tersebut didakwa berlaku di sebuah balai polis di Seri Petaling, Petaling Jaya, Selangor.
Sejurus kejadian tular itu, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka dan tindakan ditahan tugas dikenakan ke atas pegawai polis itu ‘Inspektor berikutan beberapa siri kekecohan yang tular di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, berhubung isu tersebut.
Kata beliau, dua kertas siasatan tersebut dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM.
Selain itu, beliau berkata, enam lagi kertas siasatan turut dibuka melibatkan aspek tatatertib yang dilaksanakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT). – KOSMO! ONLINE.