KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-61 di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda.
Pada majlis tersebut, Sultan Mizan berkenan menyampaikan kurnia kepada 400 penerima terdiri daripada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan fakir miskin melibatkan nilai keseluruhan RM200,000.
Penerima melibatkan 100 individu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Kebajikan Masyarakat (200) dan 100 ibu tunggal di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
Sementara itu, kurniaan Sultan Mizan amat dihargai penerima bagi meringankan beban kewangan mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini.
Seorang tukang urut, Husna Abdullah, 43, berkata, wang RM500 tersebut akan digunakan untuk membeli keperluan dapur bagi menyediakan hidangan raya buat lima anaknya.
“Suami saya, Abdullah Mohamad, 45, hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu. Syukur sangat rasanya terima rezeki ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.