SHAH ALAM – Bintang baharu ‘nak up’, Puteri Khareeza umpama beroleh nyawa kedua apabila konsert suku akhir Big Stage musim kelima tidak menyaksikan sebarang penyingkiran.
Penentuan tersebut berlaku apabila dua juri tetap program, Ajai dan Aina Abdul bertindak menyelamatkan Puteri Khareeza atas sebab yang dirasakan wajar.
Dalam konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, juri tetap memohon pihak produksi memberi peluang terakhir kepada Puteri berikutan peningkatan prestasinya setiap minggu.
Situasi tersebut sekali gus menyaksikan kelapan-lapan peserta yang masih bersaing mara ke peringkat separuh akhir pada minggu hadapan.
Pada konsert bertemakan Juri Pulak Memilih malam tadi, penyanyi Nadeera muncul sebagai bintang yang menduduki tempat pertama.
Selain itu, Putera Muhammad berada di tempat kedua, sementara Waode pula cemerlang di tangga ketiga.
Pemenang Anugerah Dominasi Persembahan Terbaik minggu ini memihak kepada Putera Muhammad yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Menjelang minggu separuh akhir, peserta diberikan tugasan menyempurnakan tema BBNU Pun Nak Pilih Jugak dan akan berduet bersama penyanyi jemputan. – KOSMO! ONLINE