fbpx

Pemain bola sepak bukan hamba abdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

CERITA tentang skuad kebangsaan di pentas antarabangsa dipenuhi warna-warni apabila merekodkan enam kemena­ngan daripada tujuh aksi sepanjang 2023, namun sebaliknya jika membelek helaian buku Liga Malaysia (Liga M).

Seperti peribahasa ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’, segalanya agak sulit untuk berbicara tentang Liga M kerana di­sebalik cerita positif, terselit isu negatif khususnya hal tunggakan gaji seperti didakwa beberapa bekas pemain Kelantan.

Isu lapuk ini sebenarnya me­nimbulkan perasaan ralat kerana kelab sudah pun berstatus profesional 100 peratus dan tidak ke­terlaluan untuk mengatakan ilmu sains kemanusiaan masih lagi kurang dalam jati diri pengurusan sesetengah pasukan.

Sebelum ini, permasalahan ini sering dipendam dan dianggap sebagai sulit oleh mangsa, namun sekarang, makin ramai pemain yang berani ‘buka cerita’ kepada umum hingga menarik peminat untuk ambil kisah.

Jika mahu diungkap de­ngan perkataan lebih kasar, permasalahan ini tidak ubah seperti perhambaan moden dan persoalan sekarang adakah industri bola sepak negara hanya profesional pada nama dan langsung tidak mencapai impian besar Liga Bolasepak Malaysia (MFL)?

Persoalan lainnya, adakah Malaysia sudah ketandusan kelab yang boleh mengisi slot pertan­dingan hingga meletakkan MFL juga ‘pening kepala’ untuk mencari pasukan ganti lebih berwibawa bagi menzahirkan liga lebih berkualiti.

Realitinya, jika tidak diben­dung dengan kadar segera ia ­berisiko jadi barah, malah tidak keterlaluan ia akan jejaskan jenama Liga M itu sendiri hingga menjauhkan penaja daripada turut serta.

“Kalau diikutkan, memang ada tindakan pemotongan mata, namun sebelum itu (buat) sekatan perpindahan terlebih dahulu kerana ia boleh dibuka semula jika buat bayaran.

“Kuasa FIB sebenarnya besar, kita boleh terus tarik lesen daripada mana-mana pasukan yang terlibat.

“Tetapi kita tidak melaksanakan sebab impak dan kesan besar kepada pasukan serta pemain kerana jika kita ambil tindakan itu, sudah pasti akan ada pasukan yang tidak boleh beraksi. Kita kena ambil kira struktur liga, kalau kita buat macam mana pula dengan kiraan balik mata,” kata Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif.

Frasa ‘pemain bukan mesin’ yang pernah diluahkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin juga boleh dikaitkan dengan isu ini dan pemain tidak wajar dilayan seperti pengemis atau dikerah kudratnya tanpa mendapat balasan setimpal.

“Tujuan kita nak dapatkan rujukan dan pandangan Persa­tuan Pemain-pemain Profesional Malaysia (PFAM) mengenai satu memo (penahanan gaji) yang dikeluarkan The Red Warriors sebab tidak ada dalam kontrak. Perkara ini sedikit sebanyak ganggu emosi pemain dan saya mahu kelab bersaing dengan sihat.

“Kita tidak mahu burukkan mana-mana pihak dan apabila babitkan soal kontrak, kita perlu ke pihak berkenaan,” kata pengasas bersama Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar yang mewakili bekas penjaga gol Kelantan, Farhan Abu Bakar.

Bergelar pemain bola sepak juga sama dengan kerjaya lain dan bukannya dilanyak seperti mesin yang hanya perlu diservis dalam tempoh tertentu apatah lagi setiap orang memerlukan pendapatan tetap untuk melunaskan komitmen bulanan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI