PUTRAJAYA – Rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, ditangguhkan kali kedua oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd. Isa memaklumkan, anak guamnya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan sejak semalam kerana menghadapi masalah jantung.
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan rayuan didengar pada 16 Oktober ini.
Pada prosiding itu, Salehuddin memohon penanguhan kerana pihaknya menerima rekod perubatan berhubung keadaan kesihatan bekas pemimpin politik itu hari ini.
Beliau yang turut hadir bersama peguam Siti Sarah Khalil memaklumkan, penjamin yang merupakan isterinya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menerima suntikan bagi mengurangkan kesakitan pada lutut yang dihadapinya.
“Penjamin iaitu isteri mengalami sakit lutut dan menerima suntikan semalam menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Kami sedia untuk berhujah pada rayuan hari ini namun mohon maaf atas atas segala kesulitan,” ujar Salehuddin.
“Masalah sakit ni tidak boleh nak buat apa, kita terima. Harap Tan Sri sihat pada tarikh akan datang,” ujar Hakim Hadhariah.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mewakili pasukan pendakwaan tidak membantahan permohonan penangguhan itu.
Rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu ditangguh kali pertama pada 7 Mac lalu dan pendengarannya dijadual semula hari ini. -KOSMO! ONLINE.