fbpx

Lizzy nak anak tapi tertekan fikir karier, wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELIZABETH Tan menyimpan banyak kerisauan sedangkan terlalu mahukan anak dalam hidupnya.

KUALA LUMPUR – “Saya betul-betul nak anak. Tapi entahlah, banyak benda kena fikir”.

Demikian kata penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan sambil menitiskan air mata sewaktu meluahkan isi hatinya untuk menimang cahaya mata selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy ketika ditemui berkata, selain memikirkan soal kerjaya seninya pada masa hadapan, dia juga perlu mengambil kira situasi ekonomi yang perlu ditanggung bersama suaminya, Dr. Siew Jim.

“Saya perlu bercakap jujur. Suami saya hanya houseman (doktor pelatih) Gaji dia tidaklah banyak sangat.

“Semua perbelanjaan ditanggung oleh saya. Banyak perkara yang perlu saya tanggung. Rumah, kereta termasuk ibu bapa.

“Semuanya saya (tanggung). Saya tidak mahu kecewakan sesiapa dan terlalu banyak tekanan tetapi memang benar-benar mahukan anak,” katanya.

Sambil menyeka air mata, penyanyi yang popular menerusi lagu Knock Knock itu juga bimbang kerjaya seninya bakal terjejas, selepas menimang cahaya mata suatu hari nanti.

“Saya tidak tahu (dilema). Saya nak sangat ada anak sebab usia saya sudah pun mencecah 30 tahun. Tapi saya kena fikir juga soal karier.

“Sebab kalau saya hamil, selama setahun saya tidak boleh bekerja. Watak yang bakal saya terima (berlakon) juga akan lain. Saya sendiri tidak tahu sama ada perancangan saya ini betul atau tidak,” ujarnya.

Lizzy ketika ditemui lawatan media di set penggambaran Viu Original, W: Two Worlds di sini, menambah, banyak perkara yang belum dicapai dalam kerjaya seninya, sama ada sebagai penyanyi dan pelakon.

“Saya nak capai lebih dalam kerjaya saya. Saya takut, disebabkan anak, kerjaya seni akan menurun terutamanya nyanyian.

“Sudah banyak contoh yang saya lihat, ramai penyanyi wanita yang sedang meniti kemuncak populariti, tiba-tiba menjunam selepas berkahwin dan memiliki anak.

“Sedangkan penyanyi baharu semakin ramai membanjiri industri. Perkara itu sangat merisaukan saya,” jelasnya.

Ketika disoal tentang desakan daripada keluarga, Lizzy atau nama lengkapnya Tan Su Mei bersyukur apabila orang tuanya faham akan situasi yang dilaluinya dan tidak pernah mendesak dia dan suami untuk segera menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

“Mujur keluarga juga faham dan tidak pernah mendesak saya untuk memiliki anak. Lagi pun saya percaya, semua perkara yang terjadi, berjalan seperti yang telah dirancang oleh Tuhan,” katanya.

Pada Mac lalu, bintang Abang Long Fadil 3 itu pernah mendedahkan bahawa tahun 2023 adalah tahun untuk bersungguh-sungguh menjadi seorang ibu. 

Malah, Lizzy turut mendakwa dirinya sudah bersedia untuk menjawat peranan sebagai seorang ibu meskipun menyedari kesibukan suaminya yang berkerja di hospital.

“Tahun ini, saya dan suami cuba untuk dapatkan ‘baby’. I cannot wait (saya tak sabar). Lizzy tak sabar,” katanya teruja.

Lizzy mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim, 32, pada 21 Mac 2021 dalam satu majlis perkahwinan kecil-kecilan yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI