BARCELONA, Sepanyol – Seorang lelaki terpaksa mencari kaedah sesuai untuk menanggalkan sebuah mangga yang digunakan untuk mengunci kemaluannya sejak tiga bulan lalu selepas dia berpisah dengan kekasihnya, lapor portal berita Daily Star semalam.
Lelaki malang itu membeli mangga kunci kira-kira lapan bulan lalu dan memakainya dari semasa ke semasa, manakala teman wanitanya terus memegang kunci.
Bagaimanapun, lelaki yang namanya tidak didedahkan itu telah menghabiskan masa tiga bulan terakhir untuk cuba menanggalkan mangga tersebut selepas mereka berpisah.
Lebih malang, pada masa dia berjaya mendapatkan semula kunci daripada bekas kekasihnya, mangga itu pula berkarat dan tidak boleh dibuka.
Lelaki muda itu terpaksa pergi berjumpa pakar tatu, La Tuerta Piercer di Barcelona bagi meminta pertolongan dan Piercer berkongsi rakaman kejadian tersebut di TikTok dengan 603,000 pengikutnya.
Klip video di TikTok menunjukkan lelaki tersebut berdiri membelakangi kamera ketika Tuerta berunding dengan rakan sekerjanya, Alex dan mereka membuat kesimpulan bahawa mangga berkenaan sudah berkarat, menjadikan kerja-kerja untuk membukanya lebih rumit.
Alex berkata: “Ia sangat berkarat. Sudah tentu, anda memakainya ketika mandi bukan?”
Dia menjelaskan bahawa mereka akhirnya dapat membuka kunci dengan beberapa pukulan tukul yang dilakukan dengan teliti.
Tuerta berkata: “Dengan sangat berhati-hati, kami meletakkan mangga di tempatnya dan memberikannya beberapa pukulan dengan tukul. Ia kemudian tertanggal.” – Agensi