KUALA LUMPUR – Lebih satu juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula esok sehingga 2 Julai depan sempena Hari Raya Aidiladha.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah, pengguna jalan raya dijangka berhadapan dengan trafik padat menuju ke Pantai Timur, terutamanya pada hari puncak.
“Kami menjangkakan lebih 1 juta kenderaan menggunakan KLK, mencatatkan hampir 70 peratus peningkatan trafik.
“Selain itu, lebih kurang 430,000 kenderaan dijangka melalui Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dengan anggaran peningkatan sebanyak 60 peratus,” katanya.
Tambah beliau, untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, ANIH Berhad akan menambah kakitangan sokongan sehingga 20 peratus serta menempatkan lebih 170 anggota RELA di sepanjang lebuh raya.
“Kami juga bersedia untuk membuka lorong kontra di lokasi bersesuaian serta lorong tol tambahan bagi transaksi secara manual untuk mengelakkan sebarang kesesakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE