fbpx

Jurulatih TUDM cedera ketika latihan meninggal dunia di Hospital Segamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TAMPIN – Seorang lagi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sebelum ini dilaporkan cedera parah disahkan meninggal dunia malam tadi, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat, Johor.

Maklumat terbaharu ini menjadikan dua maut dalam insiden melibatkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23, yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar kem berkenaan.

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22, manakala jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota TUDM yang meninggal dunia.

“Mendapat perkhabaran duka kejadian letupan bom lempar yang mengorbankan seorang jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (INSTAR) semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan, petang tadi.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham KPL U Mohd Syuib bin Bidin dan LU I Mohd Iqmal Masdi.

“Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 2.54 petang daripada pengadu iaitu seorang anggota tentera berkaitan kematian seorang pelatih semasa Latihan Bom Grenade di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan dari pasukan forensikIbu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Buat masa ini siasatan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” kata Anuwal.

Sementara itu, Markas Tentera Udara menerusi kenyataaan kepada pemberita memaklumkan, kemalangan berlaku pada jam lebih kurang 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, anggota TUDM yang terkorban di lokasi di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI