PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak.
“Kedah antaranya di Sik, Yan dan Pokok Sena, Perak antaranya di Kerian, Larut dan Matang, Selangor antaranya Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Langat.
“Negeri Sembilan di Jelebu manakala Sarawak di Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu,” katanya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE.