PARIS – Ejen kepada Achraf Hakimi, Alejandro Camano mengakui bintang Maghribi itu mungkin akan melangkah keluar daripada Paris Saint-Germain dan Manchester City dilapor akan jadi destinasi baharu.
City kini sedang mengintai peluang untuk cari pengganti Kyle Walker yang mungkin akan menyertai Bayern Munich, namun ketika ini Hakimi masih menilai tawaran berkenaan sebelum membuat keputusan.
Berita keinginan bintang PSG untuk mencari kelab baharu dikatakan berkait rapat dengan kegagalan gergasi Perancis itu melantik jurulatih yang tepat hingga menyaksikan bintang utamanya, Kylian Mbappe turut menyatakan hasratnya tidak menyambung kontrak.
“Achraf mahu kekal gembira, dia baharu saja berusia 24 tahun dan hadir ke PSG dengan penuh semangat. Tetapi, sekarang masih ada beberapa lagi pasukan lain berada di belakangnya.
“Dia masih ada baki kontrak tiga tahun dan kami mahu dia kekal tenang. Saya tidak tahu apa yang akan jadi, namun kami akan duduk berbincang dengan PSG dan menilai semula situasi mengenai apa yang kelab ini boleh lakukan kerana belum ada pengurus baharu dilantik.
“PSG adalah salah satu kelab terbaik di dunia dan sekarang kami menanti kestabilan dalam pasukan. Apabila PSG sudah ada jurulatih, kita akan bincang dan lihat kepada projek yang mahu dilaksanakan,” katanya.
Hakimi menyertai PSG dari Inter Milan, dua tahun lalu dan memiliki baki kontrak sehingga 2026, malah dilaporkan dia turut dikaitkan bakal kembali ke kelab lamanya Real Madrid. – AGENSI