fbpx

6,000 penduduk di lima daerah Sabah tuntut hak tanah adat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara wakil penduduk dari lima daerah di Sabah hadir ke sidang akhbar hari ini bagi menuntut hak tanah adat.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak kerajaan agar membela nasib hampir 6,000 penduduk di lima daerah Sabah yang dibelenggu kemelut  status pendudukan dan hak mereka sebagai penduduk asal sejak berdekad lalu.

Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah mendedahkan salahlaku dan permasalahan yang diajukan oleh penduduk-penduduk kampung berkenaan tanah adat di negeri Sabah terutamanya di daerah Tongod, Kunak, Kundasang, Nabawan dan Keningau.

Katanya, pelbagai usaha dan permohonan telah dibuat kepada pihak kerajaan Negeri sebelum ini namun tiada tindakan yang wajar dibuat sehingga menyebabkan penduduk-penduduk kampung tiada jalan lain dan terpaksa meminta bantuan daripada MHO.

“Mereka ini adalah penduduk asal, yang telah meneroka dan tinggal malah ada asebahagian kubur nenek moyang mereka ada disana. Mereka telah membuat permohonan tanah, malangnya permohonan mereka telah ditolak, tidak dilayan malahan dikeluarkan geran kepada orang ketiga.

“Isu pertama adalah melibatkan geran komunal yang mana objektifnya adalah untuk membasmi kemiskinan. Kerajaan Negeri cuba untuk memanggil peserta-peserta orang asal dan menandatangani perjanjian bersama pemaju supaya tanah dimajukan.

“Mereka dijanjikan untuk dibayar dividen, anak-anak penduduk boleh bekerja di ladang tersebut. Malangnya setelah beberapa tahun perjanjian dimeterai meerkat (pemaju) merungut menghadapi masalah tidak mendapat keuntungan dan mengalami kerugian,” katanya ketika sidang akhbar di Nasken Coffee Sungai Besi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden MHO, Tan Sri Musa Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Kebimbangan Jenayah Masyarakat Malaysia.

Jelasnya lagi, penduduk yang telah menandatangani geran komunal bagi tujuan pertanian juga tidak pernah menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan selama bertahun-tahun.

“Bukan itu sahaja, MHO menerima aduan sebahagian besar daripada penduduk tempatan, nama mereka tidak dimasukkan dalam geran komunal tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, tiada tindakan lanjut dibuat walaupun penduduk sudah beberapa kali bersuara bagi menyelesaikan isu berkenaan bersama agensi dan kerajaan negeri Sabah.

“Pada hari ini, kami hadir bersama wakil penuntut lima daerah terpaksa terbang sejauh ribuan kilometer untuk terus bersuara memohon pertolongan kemanusiaan daripada kerajaan Persekutuan agar mendengar rintihan penduduk pribumi Sabah. Kami sudah letih berurusan dengan pihak berkuasa yang terlibat.

“Bahkan kami telah menghantar surat berhimpun di hadapan pejabat Ketua Menteri namun sehingga kini, perkembangan cukup perlahan yang mana setiap hari tanah-tanah setiap hari hasil-hasil tanah disedut oleh golongan kapitalis tanpa belas ihsan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI