KOTA BHARU – Seorang tukang besi di Kampung Buloh Poh, Ketereh di sini, tidak menang tangan untuk menyiapkan 300 bilah golok dan kapak yang ditempah pelanggan sejak bulan lalu untuk kegunaan ibadah korban.
Mohd. Almizan Mat Husin, 42, berkata, dia tidak menyangka tempahan kedua-dua peralatan itu meningkat dua kali ganda terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Katanya, kebanyakan pelanggan datang dari seluruh negara sehingga dia perlu berkerja lebih masa bagi menyiapkan sekurang-kurangnya 13 bilah sehari.
“Alhamdulillah, semua tempahan dapat disiapkan seperti yang diminta oleh pelanggan. Tinggal kira-kira 30 golok dan parang yang sedang disiapkan sebelum dihantar kepada pelanggan Khamis ini.
“Saya mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam melakukan kerja-kerja pembuatan kapak dan golok. Untuk tempahan, saya dibantu oleh dua orang rakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Buloh Poh, Ketereh baru-baru ini.
Mohd. Almizan memberitahu, selain melapah daging, golok biasanya digunakan untuk menyembelih haiwan korban, manakala kapak pula untuk memotong tulang belulang.
Katanya, sebilah kapak, parang dan pisau dijual pada harga bermula RM60 sehingga RM350 bergantung kepada saiz dan kualiti besi, hulu selain sarungnya.
“Semua kerja menempa besi dihasilkan tanpa menggunakan mesin kecuali proses pembuatan hulu dan sarung yang diperbuat daripada kayu.
“Saya tidak mengamalkan sebarang petua untuk menghasilkan kedua-dua peralatan itu dan hanya menggunakan pengalaman dan kudrat sama seperti yang diajar oleh arwah bapa,” katanya.