MOSCOW, Russia – Kebimbangan semakin meningkat di Russia selepas ketua tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin mengisytiharkan perang ke atas kepimpinan tentera Kremlin dan mendakwa bahawa 25,000 askarnya memasuki bandar Rostov-on-Don ‘tanpa tentangan’.
Portal berita MailOnline melaporkan Prigozhin sebagai berkata kelmarin, askar Wagner menembak jatuh sebuah helikopter tentera Russia yang melancarkan tembakan ke arah orang awam di bandar itu.
Rostov-on-Don menjadi lokasi ibu pejabat Kremlin untuk perang di Ukraine.
Prigozhin melancarkan tindakan luar biasa itu selepas menggesa supaya Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu dipecat. Beliau berikrar akan menghukum pemimpin tertinggi tentera Russia kerana membunuh beratus-ratus askar upahannya dalam satu serangan udara.
Prigozhin turut mendakwa bahawa kepimpinan tentera Russia berbohong kepada Presiden Vladimir Putin dan menyembunyikan 2,000 mayat askar Russia untuk menyorok kerugian di Ukraine.
Ketika tentera Wagner memasuki bandar Rostov malam kelmarin, Prigozhin berkata pihaknya akan ‘mengambil semua langkah yang perlu’ untuk menjatuhkan kepimpinan tentera Moscow dan ‘memusnahkan apa sahaja yang menghalang mereka’.
Sebagai tindak balas, konvoi kenderaan tentera Russia dilihat memenuhi jalan-jalan di Moscow dan Rostov-on-Don di mana penduduk setempat diarah berada di rumah oleh pegawai kerajaan.
Jurucakap Presiden berkata, Putin telah dimaklumkan mengenai dakwaan Prigozhin dan ‘langkah-langkah perlu sedang diambil’. Beliau bagaimanapun masih belum mengulas secara terbuka mengenai pemberontakan itu.
Dalam perkembangan sama, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) memberitahu, pihaknya membuka kertas siasatan jenayah ke atas Prigozhin dan mahu ketua Wagner itu ditangkap kerana menghasut pemberontakan bersenjata.
Walaupun situasi sebenar di lapangan masih tidak jelas, senario tersebut menjadi krisis ketenteraan dalaman terbesar yang dihadapi Putin sejak beliau mengerahkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari tahun lalu.
Seorang pesara Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan bekas pegawai Pentagon, Mick Mulroy berkata bahawa Prigozhin menimbulkan ‘cabaran serius’ kepada Putin.
“Jika ancaman Prigozhin menjadi nyata, tentera Rusia mungkin perlu menumpukan semula usahanya daripada menentang kemaraan Ukraine kepada ‘mengekalkan’ kerajaan Russia.
“Sekalipun cubaan rampasan kuasa ini gagal, mereka yang paling arif tentang perang ini tahu bahawa ia adalah satu kesilapan yang buruk,” kata Mulroy.
Memandangkan Prigozhin menegaskan bahawa askarnya bersedia untuk bertindak menentang pemimpin tentera Russia, agensi berita negara itu memetik jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov sebagai berkata, semua perkhidmatan keselamatan Moscow diarah melaporkan kepada Putin ‘sepanjang masa’.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan malam kelmarin di sekitar bangunan kerajaan, kemudahan pengangkutan dan lokasi penting lain di Moscow, lapor agensi berita TASS yang memetik sumber perkhidmatan keselamatan. – Agensi