PUTRAJAYA – DAP menegaskan tidak akan mencalonkan bekas Setiausaha Publisitinya, Tony Pua dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti juga tidak berniat untuk mencalonkan Pua pada PRN malah, dia juga tidak berminat untuk bertanding.
“Saya hairan kenapa timbul isu bahawa dia (Pua) akan bertanding. Dia tiada minat pun, kawasan Parlimen pun dia tidak minat bertanding.
“Dia tidak akan bertanding dan tidak akan dicalonkan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Hari Pelaut 2023 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak DAP supaya tidak menyenaraikan Pua sebagai antara calon PRN jika mahu gabungan Kerajaan Perpaduan ini berkekalan.
Baru-baru ini, Pua sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) secara ‘tiba-tiba’ menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.
Mengulas mengenai jawatan yang disandang Pua kini sebagai Penasihat Polisi kepada Setiausaha Agung DAP, Loke berkata, jawatan itu bukan jawatan rasmi dalam parti dan ia tiada dalam perlembagaan parti. – KOSMO! ONLINE