KUALA TERENGGANU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes saman fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan demikian selepas sebutan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd. Noorlee.
Rewcastle-Brown didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Saman yang difailkan pada 21 November 2018 tersebut mendakwa kenyataan berkenaan berbaur fitnah dan bermaksud baginda terbabit dengan rasuah dan mencampuri pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.
Kenyataan itu mendakwa baginda mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Nur Zahirah turut mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.
Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021.
Dia kemudiannya membuat pemohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur namun ditolak Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy, Rabu lalu.
Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu 23 September 2021. – KOSMO! ONLINE