PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang bakal melanda tujuh negeri sehingga pukul 4 petang hari ini.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, cuaca buruk tersebut diramal berlaku sekitar Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) serta seluruh Pulau Pinang.
Selain itu, di Perak melibatkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi negeri Selangor pula, hujan lebat serta ribut petir lebih tertumpu di kawasan Sabak Bernam.
“Di Sarawak melibatkan Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis) serta Tawau (Lahad Datu), Sabah petang ini,” jelas laporan itu. – KOSMO! ONLINE