fbpx

PRN: Sanusi menghadap Sultan kedah mohon perkenan tarikh bubar DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sallehuddin berkenan berangkat ke Wisma Darul Aman, Alor Setar bagi menerima menghadap Muhammad Sanusi, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Wisma Darul Aman, di sini hari ini bagi menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Kenderaan rasmi membawa baginda tiba di pintu utama bangunan pentadbiran tersebut pada pukul 10.26 pagi selepas Muhammad Sanusi tiba di lokasi sama kira-kira lima minit sebelum itu.

Difahamkan Muhammad Sanusi turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood semasa menghadap Sultan Sallehuddin sebentar tadi.

Muhammad Sanusi dijadualkan mengadakan sidang akhbar kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Penggal lima tahun DUN Kedah sepatutnya berakhir pada 4 Julai depan, namun Muhammad Sanusi sebelum ini memaklumkan bahawa beliau berhasrat untuk mencadangkan agar DUN negeri ini dibubar pada 28 Jun ini bersempena hari wukuf.

Kedah memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi (Pas-14, Bersatu-6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2), sementara Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi kosong selepas ADUN Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas selepas dilaporkan menjadi antara calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari Pas, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI