fbpx

Pesta lelaki berhias untuk cari jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gerewol merupakan perayaan tradisi suku kaum Wodaabe di Niger.

Republik NIGER terletak bersempadan dengan Nigeria, Benin, Mali, Algeria, Libya dan Chad dan dikelilingi daratan Afrika Barat.

Uniknya di Niger, pada Jun hingga Oktober, suku kaum terbesar negara itu, Wodaabe akan mempersiapkan diri ke gurun utara bagi meraikan pesta Gerewol.

Gerewol atau dikenali sebagai pesta percintaan merupakan satu perayaan tradisi yang diraikan puak-puak dari suku kaum Wodaabe di kawasan tengah Niger.

Pesta tersebut diraikan sebagai usaha untuk mencari jodoh dan memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

Beberapa pengkaji antarabangsa turut mengklasifikasikan pesta tersebut sebagai acara mengekalkan bangsa kerana matlamatnya untuk mendapatkan zuriat bangsa tulen Wodaabe.

Justeru, ramai pihak melihat dan menyifatkan pesta tersebut sebagai majlis mencari pasangan hidup.

Beberapa pengkaji antropologi juga mengklasifikasikan Wodaabe sebagai orang-orang nomad atau puak yang terkenal dengan seni kecantikan diri.

“Baik lelaki mahupun perempuan, kecantikan dijadikan sebagai asas utama dalam kehidupan seharian mereka.

“Puak Wodaabe bercakap dalam bahasa Fula.

“Ia merupakan salah satu bahasa yang dituturkan tanpa ada tulisan,” ujar salah seorang pakar antropologi Barat, Steve Lubkemann.

Bercakap mengenai Gerewol, biasanya lokasi yang dipilih untuk pesta itu telah ditentukan pada pesta lalu.

Kebiasaannya, di kawasan itu sudah ada pondok-pondok yang didirikan untuk menampung jumlah masyarakat mereka yang begitu ramai.

“Selepas sebulan berkumpul, akhirnya pesta ini dimulai. Apabila menjelang fajar hari Gerewol, para wanita Wodaabe akan menyanyikan sebuah lagu unik.

“Nyanyian itu menandakan para lelaki dalam kaum ini akan mula menghias diri mereka secantik mungkin untuk memulakan pertandingan lelaki cantik.

KAUM lelaki perlu menari sambil disaksikan gadis-gadis pencari jodoh.

“Perayaan tradisi ini yang dimeriahkan dengan muzik dan tarian akan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam,” katanya.

Tambahnya, pelbagai cara dilakukan lelaki dalam puak itu untuk berhias termasuk membuat tatu puak, mencukur kepala bagi memperlihatkan kepala yang lonjong dan panjang, selain mengenakan pelbagai perhiasan seperti rantai dan cincin.

Apa yang pasti, semua akan mewarnakan muka mereka. Mereka akan mengecat wajah dengan tanah liat merah, mewarnakan bibir serta memakai celak hitam tebal.

Selepas nyanyian kedua berkumandang, maka pesta itu pun bermula.

Pada peringkat awal, pertandingan gigi cantik akan dimulakan dahulu, sebelum pertandingan mata cantik dengan disusuli tarian unik seorang pemikat.

Gaya dan persembahan setiap individu sebenarnya diperhatikan oleh gadis-gadis yang sedang mencari pasangan hidup.

Selepas beberapa ketika, si gadis yang menjadi penonton akan diberi kebebasan memilih lelaki yang menjadi ‘juara’ mereka.

Lazimnya, pemilihan itu dibuat mengikut kriteria diingini gadis tersebut terhadap lelaki yang ingin dikahwini.

“Ini bermakna semua lelaki yang bertanding akan menjadi juara.

“Kadangkala ada sesetengah juara menjadi rebutan ramai gadis.

“Mengikut tradisi puak ini, lelaki berhak untuk mengahwini semua gadis yang memilihnya dan perkara itu tidak menjadi isu.

“Bagaimanapun, jika seseorang lelaki itu tidak dipilih mana-mana gadis, dia layak untuk bertanding lagi pada tahun hadapan,” ujarnya.

Seperkara yang unik dan pelik, bukan saja perempuan bujang yang boleh memilih calon suami mereka dalam pesta itu, wanita yang sudah berkahwin turut diberi kebebasan mencari lelaki idaman mereka, sekali gus meninggalkan suami sebelumnya.

Berlainan dengan suku lain, wanita puak Wodaabe diberi kebebasan untuk bertukar pasangan atau suami mengikut kehendak mereka sendiri.

Pesta Gerewol turut menarik minat para pengkaji dan pelancong dari seluruh dunia untuk datang menyaksikan keunikan perayaan itu pada setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI