fbpx

Nelayan digalak teroka industri hiliran di kawasan pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faiz (kiri) menyampaikan bantuan kepada nelayan PNK Bachok di D'Heritage Resort and Training Center, Bachok hari ini. - FOTO TOREK SULONG

BACHOK – Seramai 84,000 nelayan berdaftar di bawah lebih 100 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) seluruh negara digalakkan untuk menerokai industri hiliran di kawasan pantai yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, selain tangkapan ikan di laut, kawasan perkampungan nelayan juga boleh dibangunkan sebagai kawasan pelancongan untuk menarik pelancong domestik atau luar negara.

Menurutnya, hasil tangkapan dari laut juga berpotensi dikembangkan kepada penghasilan makanan secara produktif di bawah bimbingan LKIM sekali gus membuka peluang perniagaan kepada nelayan.

“Usaha itu perlu dirangka di peringkat PNK dalam usaha meningkatkan pendapatan keluarga nelayan yang tidak hanya fokus kepada kerja menangkap ikan.

“Hasil makanan laut, seni kraf dan pelbagai produk mampu dijual kepada pengunjung. PNK juga perlu kreatif dalam merangka projek dalam membela nasib nelayan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan enjin bot, pukat dan tong ikan kepada 40 nelayan di D’Heritage Resort and Training Center di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz memberitahu, aspek kebajikan nelayan termasuk keperluan bantuan peralatan, kos operasi dan bayaran Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan sebanyak RM300 sebulan akan terus dipertahankan.

Katanya, dakwaan yang mengatakan kerajaan tidak akan menyambung ESH nelayan dan memotong subsidi bahan api hanya propaganda politik yang tidak perlu dilayan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI